SILA KLIL

Tuesday, September 21, 2010

SOALAN PKSR BAHASA ARAB j-QAF - OKTOBER 2010




SILA KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN


SILA MUAT TURUN SEMUA SOALAN PENTAKSIRAN (PKSR) BAHASA ARAB j-QAF UNTUK PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN MURID-MURID KELAS PROGRAM j-QAF.: (password: bpk2388)

- PKSR BAHASA ARAB TAHUN 3 - OKTOBER 2010

- PKSR BAHASA ARAB TAHUN 4 - OKTOBER 2010

- PKSR BAHASA ARAB TAHUN 5 - OKTOBER 2010

- PKSR BAHASA ARAB TAHUN 6 - OKTOBER 2010



- PKSR BAHASA ARAB TAHUN 1,2:
MENGGUNAKAN SKALA KADAR PKSR SEPERTI YANG DISEDIAKAN DALAM BUKU PANDUAN

Monday, September 20, 2010

Aku Seorang Guru... mendidik & mentaksir







Kata Imam Ghazali:
“Seorang guru yang hanya memikirkan mengajar sahaja tanpa memikirkan masa depan muridnya, lebih baik jangan jadi guru”.


Pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran adalah 3 proses yang tidak boleh dipisahkan. Sejauh mana kita mengajar apa yang ingin dipelajari oleh pelajar? Sejauh mana kita mentaksir pengajaran kita, tindak balas murid2, reaksi mereka, minat dan kefahaman mereka? Sejauh mana kita membuat penambahbaikan dalam perancangan, proses dan penilaian pengajaran kita? Sejauh manakah pelajar kita belajar dan menguasai apa yang diajar?

"...Raising the standards of learning that are achieved through schooling is an important national priority".

"...Learning is driven by what teachers and pupils do in classrooms. Teachers have to manage complicated and demanding situations, channeling the personal, emotional, and social pressures of a group of 30 or more youngsters in order to help them learn immediately and become better learners in the future. Standards can be raised only if teachers can tackle this task more effectively".

SELAMAT MENDUDUKI UPSR 2010





Kepada seluruh calon UPSR diucapkan selamat menduduki peperiksaan mulai hari ini (21 - 23 September 2010). Doa dan harapan moga anak-anak sekalian diberi ketenangan, keyakinan, kesihatan, kekuatan mental dan fizikal sepanjang masa menjawab setiap soalan. Semoga Allah beri kejayaan cemerlang untuk semua sekaligus kejayaan untuk anak-anak, ibu bapa, guru-guru, sekolah, PPD, JPN dan seluruhnya. Kepada guru-guru yang mendidik dan mengasuh dengan penuh gigih dan dedikasi didoakan semoga setiap pengorbanan yang kalian berikan mendapat keberkatan daripada Allah Yang Maha Pemurah. Selamat Maju Jaya dan cemerlang Insya Allah.

Friday, September 10, 2010

SELAMAT DATANG BERAYA DI BLOG TERBUKA
























SELAMAT HARI RAYA SEMUA. TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. WALAUPUN SINGGAH KEJAP DAN TAK DAPAT MENJAMU SELERA, CUKUPLAH MENIKMATI SEDIKIT HIDANGAN YANG SAYA SEDIAKAN DI BLOG INI. MAKLUMLAH, RAYA KAT BLOG MACAM NI AJE LAH ALA KADAR. TERIMA KASIH DAN MOGA ALLAH BERKATI KUNJUNGAN SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN.

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA



SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN DARIPADA KAMI SEKELUARGA:
WAN MOHD ZUHAIRI, AIDA, WAN FARIS FAWWAZ, WAN FADHIL FAYYADH, WAN HAKIM HAYYAN,WAN HAZIM HAMMAD & WAN ZAHIR AFFAN.
كل عام وأنتم بخير
SEMOGA IBADAH PUASA KITA BERJAYA MENINGKATKAN IMAN DAN TAQWA KITA SEMUA. KALAU KE PASIR PEKAN, JEMPUTLAH DATANG KE RUMAH KAMI. SEMOGA LEBARAN KITA RAIKAN INI MENAMBAH RASA SYUKUR KITA DI ATAS SEGALA NIKMAT KURNIAAN ILAHI YANG TIADA TERHINGGA.


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI






Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa Lillahilhamd.
Selamat menyambut Hari Raya Puasa untuk seluruh umat Islam. Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadhrat Allah kerana memberikan kesempatan untuk kita menyambut Aidil Fitri pada tahun ini. Sesungguhnya terdapat hanya dua hari sahaja yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Hari Raya bagi umat Islam iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha.

1 Syawal sudah tentu menjanjikan kenikmatan dan kesyukuran bagi hamba-hamba Allah yang telah berpuasa dengan sempurna. Kedatangan Syawal sewajibnya disambut dengan penuh bermakna. Bermula dari malam Hari Raya, kita sudah disunatkan memperbanyakkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil. Kesemuanya ini adalah untuk membesarkan, memuji dan mensucikan Allah Taala.

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan hendaklah kamu bertakbir membesarkan Allah terhadap petunjuk yang telah diberikan kepada kamu. Mudah-mudahan kamu mensyukuri-Nya." (al-Baqarah : 185)

Sejak daripada awal pagi lagi, kita disunatkan bangun dan mandi sunat Aidil Fitri serta membersihkan diri. Selepas menunaikan solat Subuh, kita disunatkan memakai pakaian yang baru dan cantik serta wangi-wangian sebagai menunjukkan kesyukuran menyambut Hari Raya.

Di waktu pagi juga kita disunatkan untuk makan sedikit makanan bersama keluarga sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjamaah. Ini adalah sebagai menandakan sudah berakhirnya bulan puasa dan haram bagi sesiapa yang berpuasa pada hari raya.

Di awal pagi hari raya juga umat Islam disuruh supaya saling mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari yang mulia. Di dalam satu riwayat Jubair bin Nufair berkata yang bermaksud : "Adalah sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berjumpa satu sama lain di hari raya, mereka mengucapkan: ‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan engkau."

Bagi mereka yang mempunyai ibu bapa yang masih hidup, perkara yang paling mulia dilakukan di awal pagi ialah memohon maaf dan restu daripada kedua orang tua. Jika mereka telah kembali ke rahmatullah, maka ziarahilah pusara mereka berdua. Tiadalah hadiah yang paling bermakna bagi ibu dan bapa kecuali doa daripada anak-anak yang soleh.

Di samping itu amalan ziarah-menziarahi di antara kaum kerabat dan rakan taulan amat dituntut sekali oleh Islam. Sebarang perasaan tidak puas hati, prasangka dan perkara-perkara yang boleh menggugat keutuhan masyarakat dapat dikuatkan kembali dengan aktiviti ziarah menziarahi terutama sekali ketika menyambut hari lebaran.

Sambutan Hari Raya juga mestilah bersih daripada dosa dan nista. Elakkan daripada pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim secara bebas. Begitu juga dengan hiburan yang tidak mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh agama Islam. Janganlah keberkatan dan pahala ibadah sebulan lamanya dengan segala kesukaran menghadapi dugaan dan cabaran; hilang lenyap sekelip mata semasa menyambut hari raya pertama lagi. Ingatlah sebuah hadis yang bermaksud : "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan menutup segala dosa yang terjadi di antaranya apabila dijauhi segala dosa besar." Oleh itu berusahalah untuk tidak mencemari diri dengan dosa sehingga tibanya Ramadan akan datang. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri

ZAKAT FITRAH SATU KEWAJIPAN





Ibadah puasa amat mementingkan kasih sayang sesama Islam. Di bulan lain umat Islam sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi Ramadan menyatukan perasaan dan jiwa umat Islam dengan ibadah puasa. Sakit sama dideritai, senang sama dinikmati. Orang kaya tidak dibenarkan bersenang lenang bersama golongan mereka sahaja. Begitu juga si miskin tidak akan hidup tersisih sendirian tanpa bantuan.

Di saat menyambut hari kemenangan melepasi dugaan sebulan ini, si miskin dan mereka yang memerlukan pertolongan tidak wajar dilupakan. Hidup bersaudara sesama Islam menjanjikan seribu kenikmatan bagi umat Islam. Justeru itu Allah mengatur sistem kemasyarakatan yang unggul dengan mewajibkan zakat fitrah.

Zakat fitrah adalah pemberian yang wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang merdeka dan memiliki lebih daripada kadar segantang makanan untuk diri sendiri serta ahli keluarganya sehari dan semalam. Seseorang itu juga wajib menunaikan zakat fitrah bagi isteri, anak-anak dan semua orang yang berada di bawah tanggungannya.

Umat Islam diharuskan membayar zakat fitrah bermula daripada awal Ramadan sehinggalah kelihatan anak bulan Syawal. Walau bagaimanapun waktu yang diwajibkan untuk membayar zakat fitrah ialah bermula daripada terbenamnya matahari di malam Hari Raya sehinggalah sembahyang sunat Aidil Fitri didirikan. Ibnu Umar ada meriwayatkan yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh kami mengeluarkan zakat fitrah sebelum manusia pergi solat (solat sunat Aidil Fitri)."

Di antara mereka yang berhak untuk menerima pemberian zakat fitrah ini ialah golongan fakir, orang miskin, para amil yang ditugaskan memungut zakat, muallaf yang dijinakkan hati mereka dan baru memeluk agama Islam, hamba-hamba yang hendak dimerdekakan oleh tuannya, orang yang berhutang untuk perkara yang penting dan mempunyai kemaslahatan ummah, orang-orang yang berjuang dan berkhidmat pada jalan Allah serta para musafir yang terputus bekalan di dalam perjalanan yang diredhai.

Kadar zakat fitrah yang diwajibkan adalah sebanyak segantang makanan asasi bagi sesebuah negara itu. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Sai’d katanya yang bermaksud: "Adalah kami para sahabat mengeluarkan (zakat) di masa Rasulullah s.a.w. pada Hari Raya Fitrah segantang makanan. Abu Sai’d berkata: ‘Adalah makanan kami pada masa itu ialah syair, kismis, kayu putih yang telah dibuang buihnya dan kurma."

Bagi kita, beras adalah merupakan makanan asasi. Para ulamak juga berpendapat bahawa umat Islam boleh mengeluarkan jumlah wang yang sama nilainya dengan segantang beras. Pada setiap tahun nilai zakat fitrah yang diwajibkan bagi umat Islam berubah-ubah mengikut kadar harga segantang makanan asasi setempat.

Sesungguhnya zakat fitrah memainkan peranan yang besar untuk menggembirakan hati seluruh umat Islam. Orang yang memiliki kesenangan merasa bersyukur dan gembira kerana berpeluang menyalurkan harta yang dimilikinya ke jalan yang diberkati dan menjanjikan kesuburan yang abadi di akhirat kelak. Manakala mereka yang serba kekurangan akan memanjatkan kesyukuran ke hadhrat Ilahi kerana berpeluang menggunakan kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka dengan sebaik-baiknya. Dengan ini juga mereka dapat menampung kekurangan yang dihadapi di dalam kehidupan mereka lebih-lebih lagi di saat semua orang bergembira dengan kedatangan fajar Syawal.

Di samping itu, zakat fitrah juga mempunyai hikmat yang besar di dalam proses pembersihan jiwa umat Islam. Abu Daud dan Ad-Daruqutni telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w.memfardhukan zakat fitrah sebagai membersih diri bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan tutur kata yang keji dan menjadi makanan bagi orang miskin. Barangsiapa menunaikan sebelum solat Aidil Fitri maka itulah zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikannya sesudah solat, maka itu suatu sedekah biasa."

Demikianlah di antara hikmat yang tersembunyi di dalam kewajipan menunaikan zakat fitrah yang mampu membersihkan jiwa dan menghiburkan hati segenap lapisan umat Islam.

BALIK KAMPUNG ERATKAN SILATURRAHIM






Perjalanan jauh tidak terasa kerana hati melonjak gembira ingin bertemu sanak saudara yang selalu bermain di mata. Dari jauh lagi sudah tergambar nun menghijau gunung, ladang dan rimba setiap satunya seolah-olah menggamit kepulangan anak rantau.

Setelah sekian lama tidak bertemu ayah dan bonda serta sanak saudara, kini tibalah saat paling bahagia yang dinantikan oleh setiap orang yang bergelar anak dagang untuk pulang ke kampung. Balik kampung untuk sama-sama merayakan hari raya merupakan satu tradisi mulia yang tinggi nilainya di dalam kehidupan seseorang muslim. Apa tidaknya, dengan balik ke kampunglah kita dapat merapatkan hubungan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan yang mungkin telah lama tidak dapat bersama. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah." (al-Hujurat : 10)

Dalam era pembangunan global seperti sekarang ini, kita terpaksa mengembara dan berhijrah dari satu tempat ke tempat lain untuk memberikan khidmat dan mencari rezeki. Begitu juga tuntutan untuk keluar menuntut ilmu yang memerlukan pengorbanan untuk berpisah dengan ahli keluarga dan kampung halaman.

Justeru itu, peluang sekali setahun sepatutnya diambil oleh setiap orang untuk balik kampung bertemu orang tua; memohon restu, ampun dan doa untuk terus hidup dalam suasana yang diberkati sepanjang masa.

Dalam kesibukan umat Islam balik kampung untuk menyambut Hari Raya, terdapat juga di kalangan mereka yang terpaksa menyambut hari lebaran di perantauan. Ini mungkin disebabkan oleh kekangan tugas dan terpaksa berkhidmat semasa musim perayaan seperti tentera, polis, peniaga dan sebagainya.

Bagi mereka yang tidak dapat bersama keluarga di saat bahagia seperti ini sebaik-baiknya cuba menghubungi orang tersayang melalui berbagai cara yang ada. Lebih-lebih lagi ketika dunia sedang mengalami perubahan yang pesat di dalam sistem komunikasi canggihnya sekarang ini. Terdapat berbagai-bagai jenis alat komunikasi yang dapat menghubungkan seseorang itu dengan kadar yang begitu pantas. Oleh itu tidak ada sebab bagi mereka yang tidak dapat balik kampung untuk membisu tanpa berita dan tidak mengucapkan sesuatu kepada keluarga di kampung.

Lebih daripada itu, anak-anak yang sudah mempunyai kesenangan biasanya akan mengirimkan wang belanja atau buah tangan untuk kedua orang tuanya bagi menyambut hari lebaran ini. Amalan mulia ini sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati orang tua dan sudah tentu akan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya nanti.

Di samping itu satu lagi nilai hubungan persaudaran yang kuat dan terserlah di dalam masyarakat Islam kita ialah saling mengutuskan kad ucapan Selamat Hari Raya. Kad-kad ucapan seperti ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara dua pihak yang lama tidak bertemu. Bagaikan air dicincang tidak akan putus, begitulah falsafah yang dapat dicernakan di dalam perhubungan yang berterusan di antara sesama saudara se-Islam.

Walau bagaimanapun satu perkara penting yang harus kita ingat juga ialah supaya tidak berlebih-lebihan semasa berbelanja untuk menghantar kad raya, telefon atau semasa balik kampung. Pendek kata di mana saja kita menyambut Hari Raya sama ada di kampung atau di perantauan, kita mesti mengutamakan kesederhanaan dan sikap berjimat cermat.

Kita mesti ingat selepas berhari raya nanti kita akan kembali hidup seperti biasa dan sewajarnya kita cuba menghindarkan diri daripada hutang piutang sehingga menyebabkan tergendala banyak perkara di dalam kehidupan seharian. Rancanglah percutian dan sambutan yang paling sempurna dengan kadar perbelanjaan yang paling minimum.

Sesungguhnya kemeriahan Aidilfitri itu bukan terletak kepada nilai ringgit yang banyak dikeluarkan semata-mata. Bahkan sebenarnya keunikan sambutan banyak bergantung kepada suasana bahagia, ramah mesra dan ceria yang diwujudkan sepanjang perayaan disambut dan bersama siapakah ia diraikan.