SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN SELAMAT BERPUASA.
كل عام وأنتم بخير.
“Letihnya puasa hari ini!”. Ungkapan inilah yang paling kerap didengari pada minggu pertama puasa. Maklum sajalah setiap hari perut kita diisi dengan makanan demi makanan dan minuman yang berbagai-bagai jenis siang dan malam tanpa henti-henti.
Setiap kali makanan masuk ke dalam rongga perut kita, maka sekian banyak enzim dirembes keluar untuk memproses makanan tersebut bagi menghasilkan tenaga untuk kegunaan tubuh badan kita. Tiba-tiba hari ini satu kejutan yang menimpa sistem penghadaman umat Islam kerana puasa. Ini menyebabkan enzim yang sudah biasa bertindak balas dengan makanan itu secara terus merempuh dinding sistem penghadaman tanpa menemui apa-apa makanan. Lalu perut kita berasa pedih, sakit dan lemah tidak bermaya kerana kelaparan. Selama sebulan fenomena ini berterusan menyebabkan perut kita menjadi biasa dengan kelaparan.
Walaubagaimana pun tanpa disedari rupa-rupanya kelaparan ini bukannya bertujuan untuk memberikan kesusahan dan kepayahan kepada umat Islam. Sebaliknya kegembiraan yang teramat sangat dirasakan oleh umat Islam yang berpuasa pada saat mereka berbuka pada setiap kali terbenamnya matahari. Kegembiraan yang kedua menanti apabila kita menyambut 1 Syawal dan kegembiraan yang paling hebat dirasakan ialah ketika bertemu dengan Allah di akhirat kelak dan seterusnya dipelawa masuk ke dalam syurga Rayyan dengan penuh adat istiadat.
Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum atau lain-lain perkara yang boleh membatalkannya bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari yang dimulakan dengan niat pada sebelah malamnya terlebih dahulu.
Sebenarnya kewajipan berpuasa bukanlah suatu yang baru di dalam sejarah. Malah umat terdahulu juga telah difardhukan puasa. Tersebut di dalam firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (al-Baqarah : 183)
Apa yang membezakan di antara puasa orang-orang dahulu dengan kita sekarang ialah daripada segi masa, tempoh dan cara perlaksanaannya. Ini bermakna Allah mengajar kita bahawa puasa merupakan satu kewajipan beragama yang pasti dilalui oleh sekalian hamba-Nya sehinggalah hari kiamat.
Jika dikaji, puasa mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Pertamanya puasa merupakan satu proses ketaatan kepada Allah Taala. Oleh itu orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa apa-apa keuzuran merupakan seorang hamba yang derhaka. Keduanya tujuan utama puasa ialah untuk menambah ketaqwaan umat Islam sebagai mana yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah.
Melalui puasa juga kita berpeluang mendapat keredhaan Allah, menghayati betapa susahnya saudara-saudara se-Islam yang ditimpa kesusahan dan kelaparan. Begitu juga puasa mampu secara teori dan praktikalnya membendung kerakusan hawa nafsu ganas manusia. Umat Islam yang benar-benar berpuasa tidak akan menipu di dalam percakapan, tidak akan bertelingkah sesama sendiri dan memulakan api permusuhan. Mereka juga tidak akan berjudi, meminum arak, berzina, membunuh dan sebagainya lagi.
Ini adalah jelas kerana puasa merupakan benteng kuat yang memelihara umat Islam selaras dengan kenyataan Ilahi di dalam sepotong hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. mafhumnya: Allah Azzawajalla telah berfirman: "Tiap-tiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah bagi-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan pembalasan kepadanya. Puasa itu adalah perisai; oleh itu apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan kata-kata yang jijik (lucah), keji dan yang membangkitkan rangsangan syahwat dan janganlah pula dia menimbulkan kekacauan. Apabila dia dimaki atau atau ditentang oleh seseorang, maka hendaklah dia mengatakan: "Saya berpuasa hari ini. Demi Allah yang diriku (Muhammad) di tangan-Nya, bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih baik dan lebih harum daripada bau kasturi yang semerbak. Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan; Kesenangan di waktu berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Tuhannya bergembira dengan puasanya."
Dengan keterangan ini kita tidak perlu merasa duka lara, sengsara dan kecewa kerana lapar akibat berpuasa. Kita bukannya umat yang kolot kerana puasa. Malah sebaliknya kitalah umat yang paling gembira kerana sedikit kelaparan pada hari ini. Bersabarlah dalam menjalani ibadah puasa ini. Ingatlah hidup ini adalah ladang untuk hari akhirat kelak. Bersusah-susah dahulu untuk kesenangan abadi yang dijanjikan di alam akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment