SILA KLIL

Sunday, August 29, 2010

GEMBIRANYA DI SAAT BERBUKA

SEHARI suntuk berpuasa menghadapi segala macam godaan dan cabaran. Godaan mental dan fizikal yang cuba menduga setakat manakah tahap keimanan seseorang itu. Kalau tidak kerana iman mungkin ada di kalangan kita yang secara senyap-senyap meneguk air semasa mandi atau mengambil wudhuk. Atau mungkin ada yang cuba membuka tudung saji. Kata orang puasa jenis ini ialah puasa yok-yok bangun pagi buka periuk. Atau ada yang tidak sanggup menahan godaan hawa nafsu lalu melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.

Lain pula halnya dengan rakan-rakan kita yang terlupa makan atau minum sedangkan dia sedang berpuasa. Ini kerana orang yang terlupa makan tidak akan diambil kira oleh Allah dan puasanya tidaklah batal. Makanan yang dimakan dengan cara tidak sengaja itu adalah dianggap sebagai sedekah daripada Allah Taala kepada hamba-Nya.

Tetapi jika teringat kembali yang diri kita sedang berpuasa, maka semua makanan yang terdapat di dalam mulut mestilah diluahkan segera. Walaupun sebutir nasi yang ditelan dengan sengaja akan menyebabkan puasa batal dan luputlah peluangnya untuk meneruskan puasa pada hari itu. Oleh itu kita mestilah berhati-hati menjaga puasa masing-masing daripada batal dengan sengaja.

Bagi umat Islam yang berjaya menamatkan ibadah puasa dengan sempurna pada hari ini sudah tentu akan merasakan dirinya amat bertuah sekali kerana telah menunaikan satu tuntutan yang diwajibkan oleh Allah Taala.

Sebagai tanda kesyukuran yang tidak berbelah bagi kerana berjaya menjalani ibadah ini dengan jayanya, maka kita dituntut supaya menyegerakan berbuka. Berbuka puasa adalah merupakan satu sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah melewatkan berbuka puasa apabila telah tiba waktunya. Baginda juga tidak pernah mendirikan solat Maghrib sebelum berbuka puasa terlebih dahulu. Diriwayatkan daripada Sahal bin Saad r.a. katanya Nabi s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Manusia itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Perbuatan melewat-lewatkan berbuka puasa dengan menyibukkan diri dengan memasak di dapur, melayan anak-anak, membaca al-Quran atau mendahulukan sembahyang Maghrib terlebih dahulu adalah suatu perkara yang tidak disukai oleh Rasulullah s.a.w.

Daripada Anas r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Jika makanan malam telah dihidangkan, maka makanlah dahulu sebelum sembahyang Maghrib. Janganlah kamu lewatkan makan malam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semasa berbuka, kita juga disunatkan memulakan makan buah kurma, makanan-makanan yang kecil, manis dan ringan serta meminum air. Biasanya Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan buah kurma dan meminum air sahaja dan kemudian mendirikan solat Maghrib. Selepas menunaikan sembahyang barulah Baginda meneruskan makan malam yang lebih berat. Daripada Abu Yaala daripada Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. suka berbuka puasa dengan memakan 3 biji kurma atau sesuatu yang tidak dimasak dengan api.”

Amalan Rasulullah s.a.w. ini didapati dapat memberikan kecergasan kepada tubuh badan umat Islam yang telah sehari suntuk tidak dimasukki makanan. Perut yang sedang lapar harus diberikan makanan sedikit demi sedikit. Zat makanan yang terdapat di dalam buah kurma dapat menggantikan tenaga yang telah hilang. Di samping itu juga ia dapat mencergaskan penglihatan dan pemikiran kita. Ini penting terutamanya bagi menyokong tubuh badan untuk mengerjakan ibadah di waktu malam.

Semasa menyediakan juadah untuk berbuka juga adalah baik sekali jika sekiranya seluruh umat Islam berjaya merancang hidangan makanan yang paling berzat, ekonomi dan tidak membazir. Jika setiap orang yang sedang berpuasa mampu mengatur perancangan yang baik selama sebulan di bulan Ramadan ini, maka sudah tentu satu rahmat besar akan dirasai oleh umat Islam di saat mereka menyambut Aidil Fitri kelak. Demikianlah gembiranya orang yang berpuasa di saat tibanya waktu berbuka dan menikmati berkat serta rahmat Ilahi.

No comments: