SILA KLIL

Sunday, August 29, 2010

GEMBIRANYA DI SAAT BERBUKA

SEHARI suntuk berpuasa menghadapi segala macam godaan dan cabaran. Godaan mental dan fizikal yang cuba menduga setakat manakah tahap keimanan seseorang itu. Kalau tidak kerana iman mungkin ada di kalangan kita yang secara senyap-senyap meneguk air semasa mandi atau mengambil wudhuk. Atau mungkin ada yang cuba membuka tudung saji. Kata orang puasa jenis ini ialah puasa yok-yok bangun pagi buka periuk. Atau ada yang tidak sanggup menahan godaan hawa nafsu lalu melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.

Lain pula halnya dengan rakan-rakan kita yang terlupa makan atau minum sedangkan dia sedang berpuasa. Ini kerana orang yang terlupa makan tidak akan diambil kira oleh Allah dan puasanya tidaklah batal. Makanan yang dimakan dengan cara tidak sengaja itu adalah dianggap sebagai sedekah daripada Allah Taala kepada hamba-Nya.

Tetapi jika teringat kembali yang diri kita sedang berpuasa, maka semua makanan yang terdapat di dalam mulut mestilah diluahkan segera. Walaupun sebutir nasi yang ditelan dengan sengaja akan menyebabkan puasa batal dan luputlah peluangnya untuk meneruskan puasa pada hari itu. Oleh itu kita mestilah berhati-hati menjaga puasa masing-masing daripada batal dengan sengaja.

Bagi umat Islam yang berjaya menamatkan ibadah puasa dengan sempurna pada hari ini sudah tentu akan merasakan dirinya amat bertuah sekali kerana telah menunaikan satu tuntutan yang diwajibkan oleh Allah Taala.

Sebagai tanda kesyukuran yang tidak berbelah bagi kerana berjaya menjalani ibadah ini dengan jayanya, maka kita dituntut supaya menyegerakan berbuka. Berbuka puasa adalah merupakan satu sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah melewatkan berbuka puasa apabila telah tiba waktunya. Baginda juga tidak pernah mendirikan solat Maghrib sebelum berbuka puasa terlebih dahulu. Diriwayatkan daripada Sahal bin Saad r.a. katanya Nabi s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Manusia itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Perbuatan melewat-lewatkan berbuka puasa dengan menyibukkan diri dengan memasak di dapur, melayan anak-anak, membaca al-Quran atau mendahulukan sembahyang Maghrib terlebih dahulu adalah suatu perkara yang tidak disukai oleh Rasulullah s.a.w.

Daripada Anas r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Jika makanan malam telah dihidangkan, maka makanlah dahulu sebelum sembahyang Maghrib. Janganlah kamu lewatkan makan malam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semasa berbuka, kita juga disunatkan memulakan makan buah kurma, makanan-makanan yang kecil, manis dan ringan serta meminum air. Biasanya Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan buah kurma dan meminum air sahaja dan kemudian mendirikan solat Maghrib. Selepas menunaikan sembahyang barulah Baginda meneruskan makan malam yang lebih berat. Daripada Abu Yaala daripada Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. suka berbuka puasa dengan memakan 3 biji kurma atau sesuatu yang tidak dimasak dengan api.”

Amalan Rasulullah s.a.w. ini didapati dapat memberikan kecergasan kepada tubuh badan umat Islam yang telah sehari suntuk tidak dimasukki makanan. Perut yang sedang lapar harus diberikan makanan sedikit demi sedikit. Zat makanan yang terdapat di dalam buah kurma dapat menggantikan tenaga yang telah hilang. Di samping itu juga ia dapat mencergaskan penglihatan dan pemikiran kita. Ini penting terutamanya bagi menyokong tubuh badan untuk mengerjakan ibadah di waktu malam.

Semasa menyediakan juadah untuk berbuka juga adalah baik sekali jika sekiranya seluruh umat Islam berjaya merancang hidangan makanan yang paling berzat, ekonomi dan tidak membazir. Jika setiap orang yang sedang berpuasa mampu mengatur perancangan yang baik selama sebulan di bulan Ramadan ini, maka sudah tentu satu rahmat besar akan dirasai oleh umat Islam di saat mereka menyambut Aidil Fitri kelak. Demikianlah gembiranya orang yang berpuasa di saat tibanya waktu berbuka dan menikmati berkat serta rahmat Ilahi.

Saturday, August 28, 2010

MODEL TASMIK (Program j-QAF)

1. Adakah semua murid terlibat dalam kelas tasmik?
Ya, semua murid terlibat dalam kelas tasmik.

2. Adakah murid yang telah mahir membaca al-Quran tidak perlu lagi menghadiri kelas tasmik?
Murid yang mahir mesti menghadiri kelas tasmik dan mereka boleh dijadikan murid turus.

3. Adakah murid perlu menghadiri kelas tasmik pada setiap hari?
Ya, secara asasnya setiap murid mesti menghadiri kelas tasmik pada setiap hari namun bagi sekolah yang mempunyai bilangan kelas yang banyak dan bilangan murid yang terlalu ramai berbanding dengan tenaga pengajar yang kurang, maka murid-murid boleh digilirkan mengikut kesesuaian sekolah.

4. Bolehkah kelas Tasmik dijalankan dalam jadual rasmi sekolah?
Kelas Tasmik tidak boleh dilaksanakan di dalam waktu persekolahan berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 13/2004 bertarikh 30 Disember 2004.

5. Bagaimanakah kelas tasmik akan dijalankan bagi sekolah-sekolah yang mempunyai kelas yang banyak? contoh: 10 kelas ke atas
Waktu kelas tasmik diperuntukan seperti biasa, namun dari sudut pelaksanaan, kelas-kelas boleh digabung mengikut tenaga guru yang ada.

6. Bolehkah tasmik dilakukan oleh guru pada waktu ganti (relief) atau waktu lapang (rehat) di sekolah?
Tasmik secara individu boleh dilaksanakan pada bila-bila masa samada di sekolah atau di luar sekolah oleh GPI j-QAF atau guru yang dilantik oleh sekolah.

7. Bolehkah murid ditasmik di luar waktu sekolah ?
Boleh hanya oleh guru yang terlibat dengan kelas tasmik sahaja.

8. Bolehkah murid ditasmik oleh guru dan ibubapa di rumah?
Murid boleh membaca dengan ditasmik oleh ibubapa tetapi pengesahan ayat yang telah dibaca hendaklah disahkan oleh GPI j-QAF atau GPI dan guru yang dilantik oleh sekolah.

9. Bolehkah kelas tasmik digabungkan disebabkan kekurangan tenaga pengajar? Boleh.

10. Adakah kelas Tasmik hanya dilaksanakan pada 6 bulan kedua sahaja pada setiap tahun persekolahan?
Kelas tasmik dilaksanakan di sepanjang tahun persekolahan (Jan-Okt) mulai Tahun 1 hingga Tahun 6.

11. Bolehkah kelas Tasmik dibatalkan dengan sewenang-wenangnya?
Tidak boleh kerana setiap kelas Tasmik melibatkan jadual yang diselaraskan dengan pihak ibu bapa dan bertujuan untuk menamatkan sukatan khatam al-Quran. Bagi murid yang telah khatam, pengukuhan bacaan diterapkan. Penangguhan kelas boleh dibuat hanya atas sebab yang amat tidak dapat dielakkan dan mendapat kebenaran Guru Besar. Kelas Tasmik yang dibatalkan perlu diganti pada hari lain. Setiap bacaan murid sama ada bacaan sendiri atau BIG perlu dicatat tarikh di dalam Kad Rekod Bacaan al-Quran.

REFLEKSI e-LAPORAN JUN 2010


Setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Jurulatih; Ustaz Abdullah Awang (PPD Pasir Puteh), semua Pegawai Khas j-QAF PPD, semua JU e-Laporan j-QAF PPD atas segala kerjasama yang telah diberikan dalam menyiapkan e-Laporan Jun 2010. Semua pihak di sekolah, PPD dan JPN perlu membuat post mortem terhadap laporan yang dibuat agar usaha penambahbaikan dapat dibuat segera bagi memantapkan pencapaian. Apa yang perlu dilihat refleksi kekuatan dan kelemahan murid dalam setiap model. Sebelum tamat persekolahan tahun 2010, sukatan khatam al-Quran mesti diselesaikan sama ada melalui proses Baca Ikut Guru (BIG) dan Kem Literasi al-Quran yang dibuat secara terancang. Murid yang cemerlang perlu difikirkan kaedah peneguhan positif yang sesuai ke arah merangsang pencapaian yang lebih cemerlang, sebagai penghargaan kepada murid dan ibu bapa serta dapat dimanfaatkan oleh murid lain. Sekian terima kasih.

Monday, August 23, 2010

MAKLUMAN PENEMPATAN & PERTUKARAN GURU j-QAF

Sukacita dimaklumkan bahawa mulai Julai 2010, semua urusan berkaitan dengan penempatan dan pertukaran guru di sekolah harian (termasuk guru-guru j-QAF) adalah diuruskan oleh Unit Sekolah Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Kelantan. Untuk makluman lanjut, sila berhubung melalui talian berikut: 09-7418083, 7418490. Sekian, terima kasih.

RAMADHAN AL-MUBARAK: Hayati Falsafah Puasa

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN SELAMAT BERPUASA.
كل عام وأنتم بخير.

“Letihnya puasa hari ini!”. Ungkapan inilah yang paling kerap didengari pada minggu pertama puasa. Maklum sajalah setiap hari perut kita diisi dengan makanan demi makanan dan minuman yang berbagai-bagai jenis siang dan malam tanpa henti-henti.

Setiap kali makanan masuk ke dalam rongga perut kita, maka sekian banyak enzim dirembes keluar untuk memproses makanan tersebut bagi menghasilkan tenaga untuk kegunaan tubuh badan kita. Tiba-tiba hari ini satu kejutan yang menimpa sistem penghadaman umat Islam kerana puasa. Ini menyebabkan enzim yang sudah biasa bertindak balas dengan makanan itu secara terus merempuh dinding sistem penghadaman tanpa menemui apa-apa makanan. Lalu perut kita berasa pedih, sakit dan lemah tidak bermaya kerana kelaparan. Selama sebulan fenomena ini berterusan menyebabkan perut kita menjadi biasa dengan kelaparan.

Walaubagaimana pun tanpa disedari rupa-rupanya kelaparan ini bukannya bertujuan untuk memberikan kesusahan dan kepayahan kepada umat Islam. Sebaliknya kegembiraan yang teramat sangat dirasakan oleh umat Islam yang berpuasa pada saat mereka berbuka pada setiap kali terbenamnya matahari. Kegembiraan yang kedua menanti apabila kita menyambut 1 Syawal dan kegembiraan yang paling hebat dirasakan ialah ketika bertemu dengan Allah di akhirat kelak dan seterusnya dipelawa masuk ke dalam syurga Rayyan dengan penuh adat istiadat.

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum atau lain-lain perkara yang boleh membatalkannya bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari yang dimulakan dengan niat pada sebelah malamnya terlebih dahulu.

Sebenarnya kewajipan berpuasa bukanlah suatu yang baru di dalam sejarah. Malah umat terdahulu juga telah difardhukan puasa. Tersebut di dalam firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (al-Baqarah : 183)

Apa yang membezakan di antara puasa orang-orang dahulu dengan kita sekarang ialah daripada segi masa, tempoh dan cara perlaksanaannya. Ini bermakna Allah mengajar kita bahawa puasa merupakan satu kewajipan beragama yang pasti dilalui oleh sekalian hamba-Nya sehinggalah hari kiamat.

Jika dikaji, puasa mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Pertamanya puasa merupakan satu proses ketaatan kepada Allah Taala. Oleh itu orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa apa-apa keuzuran merupakan seorang hamba yang derhaka. Keduanya tujuan utama puasa ialah untuk menambah ketaqwaan umat Islam sebagai mana yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah.

Melalui puasa juga kita berpeluang mendapat keredhaan Allah, menghayati betapa susahnya saudara-saudara se-Islam yang ditimpa kesusahan dan kelaparan. Begitu juga puasa mampu secara teori dan praktikalnya membendung kerakusan hawa nafsu ganas manusia. Umat Islam yang benar-benar berpuasa tidak akan menipu di dalam percakapan, tidak akan bertelingkah sesama sendiri dan memulakan api permusuhan. Mereka juga tidak akan berjudi, meminum arak, berzina, membunuh dan sebagainya lagi.

Ini adalah jelas kerana puasa merupakan benteng kuat yang memelihara umat Islam selaras dengan kenyataan Ilahi di dalam sepotong hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. mafhumnya: Allah Azzawajalla telah berfirman: "Tiap-tiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah bagi-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan pembalasan kepadanya. Puasa itu adalah perisai; oleh itu apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan kata-kata yang jijik (lucah), keji dan yang membangkitkan rangsangan syahwat dan janganlah pula dia menimbulkan kekacauan. Apabila dia dimaki atau atau ditentang oleh seseorang, maka hendaklah dia mengatakan: "Saya berpuasa hari ini. Demi Allah yang diriku (Muhammad) di tangan-Nya, bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih baik dan lebih harum daripada bau kasturi yang semerbak. Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan; Kesenangan di waktu berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Tuhannya bergembira dengan puasanya."

Dengan keterangan ini kita tidak perlu merasa duka lara, sengsara dan kecewa kerana lapar akibat berpuasa. Kita bukannya umat yang kolot kerana puasa. Malah sebaliknya kitalah umat yang paling gembira kerana sedikit kelaparan pada hari ini. Bersabarlah dalam menjalani ibadah puasa ini. Ingatlah hidup ini adalah ladang untuk hari akhirat kelak. Bersusah-susah dahulu untuk kesenangan abadi yang dijanjikan di alam akhirat kelak.