SILA KLIL

Thursday, September 9, 2010

PUASA, ILMU FALAK DAN ALAM CAKERAWALA


Ibadat puasa dijadikan unik dan mempunyai kaitan yang amat rapat dengan peredaran waktu dan cakerawala. Ini jelas terutamanya di dalam usaha untuk menetapkan tarikh awal Ramadan, Hari Raya, waktu imsak, berbuka dan sebagainya setiap hari.

Pendek kata semuanya ini tidak akan dapat dikuasai oleh umat Islam tanpa pengetahuan ilmu falak ataupun astronomi dan pendampingan diri yang erat dengan alam cakerawala. Dalam masa yang sama keimanan kepada Allah akan menjadi semakin kuat akibat pemerhatian yang berterusan terhadap pusingan planet bumi, bulan, matahari, arah angin dan atmosfera di sekelilingnya. Peredaran ini mengakibatkan berbagai-bagai fenomena alam berlaku setiap hari.

Sejak anak bulan Ramadan kelihatan, umat Islam diwajibkan berpuasa pada siang hari dan pada sebelah malam pula disuruh berbuka. Tempoh masa berpuasa bermula daripada terbitnya fajar siddiq sehinggalah terbenamnya matahari. Siangnya dilarang melakukan hubungan jenis bersama isteri tetapi dibolehkan pada waktu malam.

Demikianlah Allah mengaitkan suruhan dan larangan-Nya berpandukan peredaran siang dan malam demi untuk menguji siapakah di kalangan hamba-Nya yang taat dan patuh. Sebelum itu kita disunatkan bersahur sehinggalah waktu imsak. Imsak ialah tempoh masa sebelum masuknya waktu solat Subuh. Begitu juga dengan penetapan waktu sembahyang Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak adalah berdasarkan kedudukan matahari, panjangnya bayang, warna merah di ufuk langit dan fajar yang menyingsing. Kesemuanya adalah berhajatkan kepada satu sistem rangkaian fenomena akibat peredaran masa siang dan malam silih berganti secara berterusan.

Manakala di waktu malam juga kita disunatkan mengerjakan sembahyang terawih selepas sembahyang fardhu Isyak. Setelah satu pertiga malam kita disunatkan bangun untuk mengerjakan qiamullail. Malah di malam-malam sepuluh hari terakhir Ramadan pula dijanjikan dengan Lailatul Qadar. Setiap perkiraan menentukan detik-detik yang disebutkan ini banyak bergantung kepada perkiraan ilmu falak dan astronomi.

Demikianlah kesempurnaan ibadah puasa amat bergantung kepada pengetahuan dan pemerhatian umat Islam terhadap alam cakerawala. Setiap kali umat Islam menentukan perjalanan ibadatnya di bulan puasa ini, secara tidak langsung mereka terpaksa merenung kejadian Allah sama ada di bumi dan lebih-lebih lagi di langit. Sesungguhnya bertafakkur sejenak pada kejadian Allah adalah lebih baik daripada melakukan sembahyang sepanjang malam.

Di dalam al-Quran, Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Maka adakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimanakah ia diciptakan?, Dan langit bagaimana ia ditinggikan?, Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan?, Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?. Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.”

Manakala di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak akan dapat mentakdirkan (menentukan zat) Allah yang sebenarnya."

Sesungguhnya benarlah kenyataan Ilahi yang mengatakan bahawa langit yang diciptakan oleh Allah itu membawa perkhabaran berita yang banyak. Oleh sebab itu di zaman intrnet sekarang ini, apabila manusia sudah mengamalkan dasar langit terbuka, maka semua perkara boleh diterokai dengan bebasnya pada setiap kali kita melungsur ke alam siber. Apabila kita menoleh ke langit banyak maklumat yang kita perolehi. Hujan, panas, kemarau, ribut kencang, jerebu dan sebagainya dapat dikesan lebih awal
oleh ahli-ahli kaji cuaca melalui pemerhatian ke langit tinggi.

Lebih daripada itu langit juga menjadi sumber aspirasi untuk menyatukan manusia di seluruh dunia termasuk sejak zaman dahulu kala. Ini juga sekaligus mampu untuk membuktikan kehebatan Allah yang menjadikannya.

Sebagai contohnya bulan, matahari, bintang dan sebagainya yang kita lihat di langit hari ini; sebenarnya itulah di antara planet yang pernah wujud sejak mula Nabi Adam a.s. diturunkan ke bumi ini sehingga kiamat. Malah bulan, bintang dan matahari itulah yang pernah cuba dinilai kekuatannya oleh Nabi Ibrahim a.s. adakah ia kuat untuk layak disembah sebagai tuhan, pernah lihat oleh Nabi Yusuf a.s. di dalam mimpinya dan pernah diminta oleh orang kafir Quraisy untuk dibelah oleh Rasulullah s.a.w. Lihatlah bagaimana Allah Yang Maha Perkasa menjadikan alam caakerawala yang tinggi letaknya untuk kepentingan manusia sejagat.

Di akhir Ramadan nanti, seluruh perhatian umat Islam sekali lagi akan bertumpu ke pusat-pusat pencerapan yang telah ditetapkan untuk melihat kemunculan anak bulan Syawal bagi menentukan tarikh Hari Raya Puasa.

Bukankah ini jelas membuktikan bahawa di antara kita, puasa dan sistem cakerawala Allah itu ada hubungan yang begitu intim ? Terpulanglah kepada seseorang itu untuk mensyukuri apa yang dianugerahkan kepadanya.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, dan bulan apabila mengirinya, dan siang menampakkannya, dan malam apabila menutupinya, dan langit serta pembinaannya, dan bumi serta hamparannya, dan jiwa serta penyempurnaannya; maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya." (asy-Syams:1-8)

No comments: