Al-Farabi mengibaratkan pemimpin sebagai jantung di dalam badan manusia. Jantung ialah satu daripada organ badan yang penting. Kepentingannya dalam menggerakkan seluruh anggota badan manusia seperti pemimpin yang mengetuai dan menggerakkan rakyat atau orang bawahannya.
Kedudukannya di dalam dada yang dilindungi oleh satu set tulang rusuk yang disaluti oleh urat saraf dan otot-otot yang anjal sesuai bagi membolehkan jantung mengembang dan menguncup dengan sempurna. Demikianlah ibarat seorang pemimpin yang duduk di dalam istana yang kukuh dan selamat untuknya bertindak sebagai pemimpin. Di kelilingi pagar yang kukuh dan pengawal yang setia kerana kredibilitinya sebagai seorang pemimpin yang hidup untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
Dari segi binaan biologinya, jantung adalah merupakan suatu pam berotot yang memastikan darah diedarkan ke seluruh badan dengan denyutannya. Demikian juga pemimpin yang zahirnya seperti manusia biasa, tetapi memikul tugas berat sebagai seorang khalifah dan imam.
Jantung diselaputi oleh tisu perantara yang tahan lasak yang dikenali sebagai perikardium. Ibarat seorang pemimpin yang disayangi dan benar-benar berfungsi, ia sentiasa dilindungi dan dikelilingi oleh para hulubalang, panglima, menteri dan penasihat yang sentiasa menyokong, membantu dan mempertahankannya. Jantung itulah pemimpin di dalam diri manusia dan pemimpin yang sebenarnya di dalam masyarakat ibarat jantung di dalam badan manusia. Lemahnya jantung ibarat lemahnya pemimpin. Pemimpin yang lemah ibarat seperti jantung yang lemah dan akan menjanjikan kematian pada bila-bila masa sahaja.
Jantung terbahagi kepada empat bahagian iaitu aurikel kanan dan aurikel kiri yang mempunyai dinding nipis serta vertikel kanan dan vertikel kiri yang berdinding tebal. Bahagian kanan jantung menerima darah terdeoksigen manakala bahagian kiri jantung menerima darah beroksigen. Setiap binaan jantung dihubungkan oleh tiga jenis salur darah pada sistem peredaran darah manusia iaitu arteri, vena dan kapilari. Arteri membawa darah keluar dari jantung ke seluruh bahagian badan. Vena bertugas membawa darah dari bahagian badan ke dalam jantung. Kapilari mempunyai dinding yang nipis terletak di dalam tisu-tisu menghubungkan arteri dan vena. Jantung mempunyai rangkaian dan jaringan perhubungan serta komunikasi yang amat rapat dengan seluruh sistem peredaran darah. Kesannya dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh badan manusia. Demikian juga halnya pemimpin harus membahagikan dirinya kepada beberapa bahagian iaitu hak untuk Allah, hak untuk pimpinan di bawahnya, hak untuk dirinya, hak untuk dunia dan hak untuk di akhirat. Pemimpin atau khalifah harus memiliki hubungan komunikasi yang istimewa dengan Tuhannya, orang bawahannya dan juga dengan dirinya sendiri. Semakin rapat hubungan dengan Allah dan semakin bergantung harap pemimpin dengan-Nya, maka semakin ampuh hubungan komunikasi pemimpin dengan anggota pimpinannya. Hasilnya pemimpin seperti ini mampu membawa sesuatu yang istimewa di dalam kepimpinannya.
Pemimpin ibarat jantung yang menerima oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida. Pemimpin menerima maklumat dan data. Pemimpin menguruskan maklumat dan data dengan kreativiti, kepimpinan dan hikmahnya. Akhirnya pemimpin mengeluarkan arahan, keputusan, menjatuhkan hukuman, ketentuan, nasihat, membuat pembaharuan dan sebagainya. Pemimpin perlu kepada agen perubahan dan pembantunya yang menyalurkan berbagai maklumat serta nasihat bertindak seperti arteri dan vena yang berkhidmat untuk jantung dengan penuh tekun. Pemimpin perlu mempunyai rangkaian komunikasi yang jelas, telus, terus, berkesan dan efektif dengan semua pembantu dan ejen-ejennya seperti mana berfungsinya jantung dengan perhubungan yang rapat, berterusan dan efektif di antara arteri dan vena melalui perantaraan kapilari darah. Kerosakan kepada kapilari darah boleh menyebabkan kesan yang buruk terhadap vena dan arteri. Sistem yang tersumbat dan rosak menyebabkan lemah jantung yang memerlukan pembedahan. Sakit jantung boleh mengakibatkan strok, lumpuh atau mati mengejut. Demikian juga para pembantu pemimpin, ejen-ejennya yang tidak berfungsi dengan baik menghubungkan pemimpin dengan semua pihak di dalam masyarakat pimpinannya menyebabkan bahaya kepada pemimpin dan kepimpinan yang sedang berlangsung.
Antara musuh yang boleh menyumbatkan saluran darah menuju ke jantung dan boleh merosakkan jantung ialah seperti diabetes, kanser, tekanan darah tinggi, kolestrol dan sebagainya. Ini diakibatkan oleh pengambilan gula yang berlebihan, lemak, tekanan hidup, merokok, minuman keras, dadah dan sebagainya. Demikian juga pemimpin dan kepimpinan mempunyai cabaran, dugaan dan tentangan. Orang yang munafik, busuk hati, talam dua muka, gunting dalam lipatan atau musuhnya yang nyata seperti orang kafir, syaitan dan begitu juga orang mukmin yang sentiasa berdengki. Cabaran daripada masyarakat setempat, orang-orang bodoh yang sukar diajar. Cabaran perasaan riak, bangga diri, angkuh, ego dan sebagainya yang lahir dari hati seseorang pemimpin itu juga adalah pembunuh yang sangat berpotensi. Begitu juga cabaran persaingan sama ada yang berbentuk individu, kebendaan, perkembangan globasisasi, zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), zaman manusia sedar tentang berbagai nilai psikologi serta pelbagai teknik kepimpinan, zaman celik undang-undang yang mendorong mereka mendakwa dan memfailkan tuntutan saman dan sebagainya. Cabaran ini jika tidak ditangani dengan baik boleh melemahkan pemimpin dan merosakkan kepimpinannya. Ini seperti apa yang terjadi kepada penyakit jantung yang boleh membunuh badan tuannya.
Dalam era transformasi kepimpinan dan kepemimpinan, pemimpin tidak seharusnya selesa duduk di atas dan memimpin dengan cara lama dengan tidak menghiraukan orang bawahannya. Sebaliknya pemimpin harus mengambil kira sekurang-kurangnya empat perkara iaitu; bersedia menjadi model serta contoh ikutan dan qudwah hasanah, bersedia membuat perubahan, mengalakkan orang bawahannya untuk melakukan perubahan serta melatih orang bawahan untuk lebih proaktif di dalam melakukan perubahan.
Sesungguhnya pemimpin itu harus dapat menawan hati pengikutnya secara sukarela untuk melaksanakan apa jua amanah seperti jantung yang mengawal seluruh sistem peredaran darah untuk kepentingan seluruh tubuh badan.
Pemimpin perlu mengawasi sumber-sumber di dalam sesebuah organisasi seperti orang, modal, peralatan dan teknologi bagi menggerakkan ke arah yang betul seperti mana jantung mengawasi setiap saluran darah berfungsi dengan mengembang dan menguncup mengikut prosedur yang betul.
Pemimpin harus
Di dalam Islam, pemimpin adalah merupakan anugerah dan amanah daripada Allah. Pemimpin adalah khalifah di muka bumi ini. Di dalam sembahyang, pemimpin ialah merupakan imam yang dapat mengetuai sembahyang dengan sahih, sempurna dan yakin. Pemimpin selaku imam wajib ditaati dan kadang-kadang perlu menerima teguran makmum kerana tersilap rukun dan sebagainya. Sebab itu syarak mengkhususkan ucapan tasbih daripada makmum sebagai isyarat kesilapan yang dilakukan oleh imam selaku pemimpin di dalam sembahyang. Pincangnya pemimpin, maka binasalah kepimpinannya.
No comments:
Post a Comment