31 Ogos menjelang lagi sebagai mana pada tahun-tahun lepas. Di saat kita meraikan kembali detik kemerdekaan ini, sewajarnya kita insaf dan menundukkan rasa ego diri kita di hadapan Allah agar kita mampu mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada-Nya yang telah menganugerahkan nikmat hidup merdeka ini dengan penuh ikhlas hati.
Rasa kecintaan kepada agama dan tanah air mestilah dipupuk dan sememangnya ianya telah menjadi satu daripada suruhan agama Islam yang mulia ini. Untuk itu kita dituntut supaya sentiasa ingat mengingati dan mengungkapkan kata-kata semangat dan perangsang yang mampu menaikkan rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara kita.
Sejak dari zaman Hang Tuah, orang kita memang kaya dengan slogan retorik yang bersemangat. Hang Tuah pernah berkata: “Tak Melayu Hilang Di Dunia”; tetapi selepas itu kita lupa dan bertelagah sesama sendiri, lalu kita dijajah dan terus lenyap dari arus kemajuan dunia.
Hari ini kita mulia kerana muafakat dan hidup secara merdeka. Kita mula menapak semula, meletakkan diri di pentas kemajuan dunia. Janganlah kita leka, alpa dan sentiasa tenggelam dengan slogan dan semangat retorik semata-mata. Marilah kita hayati semua erti dan nilai kemerdekaan yang dianugerahkan Allah ini.
Pengajaran terpenting yang harus dipelajari bermula dari tahun 1511 apabila Portugis memulakan misi penjajahan Barat di bumi Melaka. Kerajaan Melayu pada ketika itu lemah, berpecah belah dan kucar kacir. Sultannya pecah amanah, pemimpinnya tamak harta, kaki perempuan dan pembesarnya gila kuasa serta bersifat ‘hubbu al-dunya wa karahiyatul maut’. Dalam suasana begitu, Portugis mencelah dan mencipta fitnah serta helah untuk menjajah.
Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan bahawa pada akhir zaman nanti umatnya ramai tetapi ditimpa penyakit ‘al-wahn’. Para sahabat bertanya baginda apakah yang dimaksudkan dengan ‘al-wahn’ itu. Lalu baginda menjelaskan ‘al-wahn’ itu maksudnya ialah mencintai hidup duniawi dan benci kepada mati. Akibatnya ummah ramai seperti buih di lautan yang hanyut; tetapi lemah, berpecah belah, tidak berguna dan boleh musnah pada bila-bila masa sahaja.
Bermula dari tarikh tersebutlah nenek moyang peribumi ini terus menderita diperbodohkan, diperas tenaga mereka dan dinafikan hak kebebasan oleh para penjajah. Beratus-ratus tahun lamanya ‘hidung’ orang kita dicucuk dan ditarik ke barat dan ke timur oleh kuasa penjajah yang silih berganti bermula dengan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris kembali.
Sesungguhnya orang kafir adalah musuh yang besar bagi orang Islam. Sama ada secara jelas atau tidak, mereka akan berusaha membunuh jiwa iman dan roh aqidah Islamiyah yang ada di dalam diri umat Islam sedikit demi sedikit. Dalam masa yang sama, mereka akan berusaha menanam nilai-nilai kufur dan keraguan terhadap keyakinan umat Islam selama ini.
Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Buruuj : 8)
Di dalam ayat yang lain pula Allah berfirman maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka…” (Surah al-Baqarah : 120)
Pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu, orang-orang kafir menyiksa orang-orang yang beriman dan menghalau mereka dari kampung halaman yang telah didiami sejak kelahiran lagi. Firman Allah Taala maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka telah mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah Tuhannmu...” (Al-Mumtahanah : 1)
Pengusiran ini telah menyebabkan Rasulullah s.a.w. berhijrah meninggalkan tanah air Mekah menuju ke Yathrib yang kemudiaanya dikenali dengan Madinah al-Munawwarah bersama-sama dengan para sahabat setianya yang lain. Bumi tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kaum kerabat mereka sendiri yang menentang hidayah tauhid. Penjajahan kuffar ini mengekalkan kedudukan patung-patung berhala di sekeliling Kaabah dan menentang keras mereka yang mengikuti ajaran Nabi Muhammad s.a.w.
Fenomena pengusiran dan penyingkiran etnik yang sinonim dengan gambaran ayat di atas berulang kali berlaku di beberapa negara umat Islam akhir zaman ini seperti apa yang berlaku dengan kejamnya di Bosnia Hezergovina, Chechnya, Kosovo dan sebagainya.
Manakala orang Melayu dahulu tidak dibunuh kejam oleh penjajah atau diusir ganas dari Tanah Melayu. Walaupun demikian, peritnya hidup dijajah tidak dapat dinafikan.
Bentuk penjajahan di bumi kita lebih bersifat ‘mental sentrik’ iaitu yang berpusatkan kepada serangan mental dan pemikiran. Mereka menjajah pemikiran, gaya, sikap dan cara hidup ala kolonial. Begitu juga aspek-aspek pegangan aqidah, perundangan, sosio ekonomi dan politik umat Islam turut dicemari dengan berbagai idealisme yang disogokkan ke dalam pemikiran orang Melayu.
Sepanjang tempoh itu mereka juga telah mencabul banyak khazanah kekayaan negara daripada hasil bumi seperti bijih timah, emas dan besi serta hasil-hasil pertanian dan kegiatan ekonomi yang lain. Dalam masa yang sama, penjajah turut berjaya melunturkan semangat keagamaan di dalam jiwa anak watan dan lebih gemar mengagungkan pemimpin dan sistem yang diperkenalkan dari Barat. Kefahaman ummah terhadap pendidikan Islam dan prinsip-prinsip asas Islam yang sahih juga banyak diselewengkan oleh mereka.
Bagi kita generasi wawasan yang beriman dan sedang menikmati anugerah hidup merdeka dan keamanan seperti ini wajib menjaga dan menghargai kemerdekaan ini. Banyak cara yang dituntut supaya kita melaksanakannya dalam usaha kita menghayati nilai kemerdekaan negara. Antaranya adalah seperti berikut:
Bersyukur kepada Allah dan melaksanakan tuntutan amal ibadat serta berusaha
menjadi seorang hamba yang taat pada suruhannya serta mengikuti peraturan dan
undang-undang yang ditetapkan.
Memakmurkan negara merdeka ini dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat
yang prihatin, berdaya maju, bersikap optimis, positif dan progresif pada setiap
masa.
Mengelakkan diri daripada menjadi satu daripada anasir subversif yang boleh
menggugat keamanan dan kesejahteraan negara merdeka ini.
Dalam masa yang sama, selaku rakyat yang merdeka juga kita dituntut untuk menimba ilmu pengetahuan yang mendalam dan berusaha memajukan negara merdeka ini dengan limpahan ilmu pengetahuan.
Akhirnya yang paling penting sekali ialah memastikan usaha-usaha amar makruf dan nahi mungkar dijalankan setiap masa bagi memastikan kemerdekaan negara ini akan berterusan dan kekal sehingga ke akhir zaman.
Sesungguhnya kemakmuran dan keberkatan sesebuah negara yang merdeka itu amat bergantung kepada keimanan dan ketergantungan pemimpin dan rakyatnya kepada Allah Taala. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran maksudnya: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raaf : 96)
No comments:
Post a Comment