Suatu pelayaran bahtera kehidupan memerlukan perahu, dayung dan semangat yang utuh untuk mengharungi arus, ombak dan badai. Tiada makna sehari berlalu tanpa mentaksir, mendidik dan menuntut. Ilmu memimpin hati untuk terus hidup beriman, bertaqwa dan beramal soleh. Sabda Rasulullah saw: "Sampaikanlah dariku walau satu ayat". Hidup mencipta kecemerlangan. Moga hari ini lebih baik daripada semalam dan esok biarlah menjanjikan seribu satu kenangan.
SILA KLIL
Thursday, September 9, 2010
BALIK KAMPUNG ERATKAN SILATURRAHIM
Perjalanan jauh tidak terasa kerana hati melonjak gembira ingin bertemu sanak saudara yang selalu bermain di mata. Dari jauh lagi sudah tergambar nun menghijau gunung, ladang dan rimba setiap satunya seolah-olah menggamit kepulangan anak rantau.
Setelah sekian lama tidak bertemu ayah dan bonda serta sanak saudara, kini tibalah saat paling bahagia yang dinantikan oleh setiap orang yang bergelar anak dagang untuk pulang ke kampung. Balik kampung untuk sama-sama merayakan hari raya merupakan satu tradisi mulia yang tinggi nilainya di dalam kehidupan seseorang muslim. Apa tidaknya, dengan balik ke kampunglah kita dapat merapatkan hubungan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan yang mungkin telah lama tidak dapat bersama. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah." (al-Hujurat : 10)
Dalam era pembangunan global seperti sekarang ini, kita terpaksa mengembara dan berhijrah dari satu tempat ke tempat lain untuk memberikan khidmat dan mencari rezeki. Begitu juga tuntutan untuk keluar menuntut ilmu yang memerlukan pengorbanan untuk berpisah dengan ahli keluarga dan kampung halaman.
Justeru itu, peluang sekali setahun sepatutnya diambil oleh setiap orang untuk balik kampung bertemu orang tua; memohon restu, ampun dan doa untuk terus hidup dalam suasana yang diberkati sepanjang masa.
Dalam kesibukan umat Islam balik kampung untuk menyambut Hari Raya, terdapat juga di kalangan mereka yang terpaksa menyambut hari lebaran di perantauan. Ini mungkin disebabkan oleh kekangan tugas dan terpaksa berkhidmat semasa musim perayaan seperti tentera, polis, peniaga dan sebagainya.
Bagi mereka yang tidak dapat bersama keluarga di saat bahagia seperti ini sebaik-baiknya cuba menghubungi orang tersayang melalui berbagai cara yang ada. Lebih-lebih lagi ketika dunia sedang mengalami perubahan yang pesat di dalam sistem komunikasi canggihnya sekarang ini. Terdapat berbagai-bagai jenis alat komunikasi yang dapat menghubungkan seseorang itu dengan kadar yang begitu pantas. Oleh itu tidak ada sebab bagi mereka yang tidak dapat balik kampung untuk membisu tanpa berita dan tidak mengucapkan sesuatu kepada keluarga di kampung.
Lebih daripada itu, anak-anak yang sudah mempunyai kesenangan biasanya akan mengirimkan wang belanja atau buah tangan untuk kedua orang tuanya bagi menyambut hari lebaran ini. Amalan mulia ini sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati orang tua dan sudah tentu akan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya nanti.
Di samping itu satu lagi nilai hubungan persaudaran yang kuat dan terserlah di dalam masyarakat Islam kita ialah saling mengutuskan kad ucapan Selamat Hari Raya. Kad-kad ucapan seperti ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara dua pihak yang lama tidak bertemu. Bagaikan air dicincang tidak akan putus, begitulah falsafah yang dapat dicernakan di dalam perhubungan yang berterusan di antara sesama saudara se-Islam.
Walau bagaimanapun satu perkara penting yang harus kita ingat juga ialah supaya tidak berlebih-lebihan semasa berbelanja untuk menghantar kad raya, telefon atau semasa balik kampung. Pendek kata di mana saja kita menyambut Hari Raya sama ada di kampung atau di perantauan, kita mesti mengutamakan kesederhanaan dan sikap berjimat cermat.
Kita mesti ingat selepas berhari raya nanti kita akan kembali hidup seperti biasa dan sewajarnya kita cuba menghindarkan diri daripada hutang piutang sehingga menyebabkan tergendala banyak perkara di dalam kehidupan seharian. Rancanglah percutian dan sambutan yang paling sempurna dengan kadar perbelanjaan yang paling minimum.
Sesungguhnya kemeriahan Aidilfitri itu bukan terletak kepada nilai ringgit yang banyak dikeluarkan semata-mata. Bahkan sebenarnya keunikan sambutan banyak bergantung kepada suasana bahagia, ramah mesra dan ceria yang diwujudkan sepanjang perayaan disambut dan bersama siapakah ia diraikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment