Suatu pelayaran bahtera kehidupan memerlukan perahu, dayung dan semangat yang utuh untuk mengharungi arus, ombak dan badai. Tiada makna sehari berlalu tanpa mentaksir, mendidik dan menuntut. Ilmu memimpin hati untuk terus hidup beriman, bertaqwa dan beramal soleh. Sabda Rasulullah saw: "Sampaikanlah dariku walau satu ayat". Hidup mencipta kecemerlangan. Moga hari ini lebih baik daripada semalam dan esok biarlah menjanjikan seribu satu kenangan.
SILA KLIL
Thursday, September 9, 2010
ZAKAT FITRAH SATU KEWAJIPAN
Ibadah puasa amat mementingkan kasih sayang sesama Islam. Di bulan lain umat Islam sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi Ramadan menyatukan perasaan dan jiwa umat Islam dengan ibadah puasa. Sakit sama dideritai, senang sama dinikmati. Orang kaya tidak dibenarkan bersenang lenang bersama golongan mereka sahaja. Begitu juga si miskin tidak akan hidup tersisih sendirian tanpa bantuan.
Di saat menyambut hari kemenangan melepasi dugaan sebulan ini, si miskin dan mereka yang memerlukan pertolongan tidak wajar dilupakan. Hidup bersaudara sesama Islam menjanjikan seribu kenikmatan bagi umat Islam. Justeru itu Allah mengatur sistem kemasyarakatan yang unggul dengan mewajibkan zakat fitrah.
Zakat fitrah adalah pemberian yang wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang merdeka dan memiliki lebih daripada kadar segantang makanan untuk diri sendiri serta ahli keluarganya sehari dan semalam. Seseorang itu juga wajib menunaikan zakat fitrah bagi isteri, anak-anak dan semua orang yang berada di bawah tanggungannya.
Umat Islam diharuskan membayar zakat fitrah bermula daripada awal Ramadan sehinggalah kelihatan anak bulan Syawal. Walau bagaimanapun waktu yang diwajibkan untuk membayar zakat fitrah ialah bermula daripada terbenamnya matahari di malam Hari Raya sehinggalah sembahyang sunat Aidil Fitri didirikan. Ibnu Umar ada meriwayatkan yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh kami mengeluarkan zakat fitrah sebelum manusia pergi solat (solat sunat Aidil Fitri)."
Di antara mereka yang berhak untuk menerima pemberian zakat fitrah ini ialah golongan fakir, orang miskin, para amil yang ditugaskan memungut zakat, muallaf yang dijinakkan hati mereka dan baru memeluk agama Islam, hamba-hamba yang hendak dimerdekakan oleh tuannya, orang yang berhutang untuk perkara yang penting dan mempunyai kemaslahatan ummah, orang-orang yang berjuang dan berkhidmat pada jalan Allah serta para musafir yang terputus bekalan di dalam perjalanan yang diredhai.
Kadar zakat fitrah yang diwajibkan adalah sebanyak segantang makanan asasi bagi sesebuah negara itu. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Sai’d katanya yang bermaksud: "Adalah kami para sahabat mengeluarkan (zakat) di masa Rasulullah s.a.w. pada Hari Raya Fitrah segantang makanan. Abu Sai’d berkata: ‘Adalah makanan kami pada masa itu ialah syair, kismis, kayu putih yang telah dibuang buihnya dan kurma."
Bagi kita, beras adalah merupakan makanan asasi. Para ulamak juga berpendapat bahawa umat Islam boleh mengeluarkan jumlah wang yang sama nilainya dengan segantang beras. Pada setiap tahun nilai zakat fitrah yang diwajibkan bagi umat Islam berubah-ubah mengikut kadar harga segantang makanan asasi setempat.
Sesungguhnya zakat fitrah memainkan peranan yang besar untuk menggembirakan hati seluruh umat Islam. Orang yang memiliki kesenangan merasa bersyukur dan gembira kerana berpeluang menyalurkan harta yang dimilikinya ke jalan yang diberkati dan menjanjikan kesuburan yang abadi di akhirat kelak. Manakala mereka yang serba kekurangan akan memanjatkan kesyukuran ke hadhrat Ilahi kerana berpeluang menggunakan kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka dengan sebaik-baiknya. Dengan ini juga mereka dapat menampung kekurangan yang dihadapi di dalam kehidupan mereka lebih-lebih lagi di saat semua orang bergembira dengan kedatangan fajar Syawal.
Di samping itu, zakat fitrah juga mempunyai hikmat yang besar di dalam proses pembersihan jiwa umat Islam. Abu Daud dan Ad-Daruqutni telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w.memfardhukan zakat fitrah sebagai membersih diri bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan tutur kata yang keji dan menjadi makanan bagi orang miskin. Barangsiapa menunaikan sebelum solat Aidil Fitri maka itulah zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikannya sesudah solat, maka itu suatu sedekah biasa."
Demikianlah di antara hikmat yang tersembunyi di dalam kewajipan menunaikan zakat fitrah yang mampu membersihkan jiwa dan menghiburkan hati segenap lapisan umat Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment