SILA KLIL

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI






Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa Lillahilhamd.
Selamat menyambut Hari Raya Puasa untuk seluruh umat Islam. Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadhrat Allah kerana memberikan kesempatan untuk kita menyambut Aidil Fitri pada tahun ini. Sesungguhnya terdapat hanya dua hari sahaja yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Hari Raya bagi umat Islam iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha.

1 Syawal sudah tentu menjanjikan kenikmatan dan kesyukuran bagi hamba-hamba Allah yang telah berpuasa dengan sempurna. Kedatangan Syawal sewajibnya disambut dengan penuh bermakna. Bermula dari malam Hari Raya, kita sudah disunatkan memperbanyakkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil. Kesemuanya ini adalah untuk membesarkan, memuji dan mensucikan Allah Taala.

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan hendaklah kamu bertakbir membesarkan Allah terhadap petunjuk yang telah diberikan kepada kamu. Mudah-mudahan kamu mensyukuri-Nya." (al-Baqarah : 185)

Sejak daripada awal pagi lagi, kita disunatkan bangun dan mandi sunat Aidil Fitri serta membersihkan diri. Selepas menunaikan solat Subuh, kita disunatkan memakai pakaian yang baru dan cantik serta wangi-wangian sebagai menunjukkan kesyukuran menyambut Hari Raya.

Di waktu pagi juga kita disunatkan untuk makan sedikit makanan bersama keluarga sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjamaah. Ini adalah sebagai menandakan sudah berakhirnya bulan puasa dan haram bagi sesiapa yang berpuasa pada hari raya.

Di awal pagi hari raya juga umat Islam disuruh supaya saling mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari yang mulia. Di dalam satu riwayat Jubair bin Nufair berkata yang bermaksud : "Adalah sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berjumpa satu sama lain di hari raya, mereka mengucapkan: ‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan engkau."

Bagi mereka yang mempunyai ibu bapa yang masih hidup, perkara yang paling mulia dilakukan di awal pagi ialah memohon maaf dan restu daripada kedua orang tua. Jika mereka telah kembali ke rahmatullah, maka ziarahilah pusara mereka berdua. Tiadalah hadiah yang paling bermakna bagi ibu dan bapa kecuali doa daripada anak-anak yang soleh.

Di samping itu amalan ziarah-menziarahi di antara kaum kerabat dan rakan taulan amat dituntut sekali oleh Islam. Sebarang perasaan tidak puas hati, prasangka dan perkara-perkara yang boleh menggugat keutuhan masyarakat dapat dikuatkan kembali dengan aktiviti ziarah menziarahi terutama sekali ketika menyambut hari lebaran.

Sambutan Hari Raya juga mestilah bersih daripada dosa dan nista. Elakkan daripada pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim secara bebas. Begitu juga dengan hiburan yang tidak mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh agama Islam. Janganlah keberkatan dan pahala ibadah sebulan lamanya dengan segala kesukaran menghadapi dugaan dan cabaran; hilang lenyap sekelip mata semasa menyambut hari raya pertama lagi. Ingatlah sebuah hadis yang bermaksud : "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan menutup segala dosa yang terjadi di antaranya apabila dijauhi segala dosa besar." Oleh itu berusahalah untuk tidak mencemari diri dengan dosa sehingga tibanya Ramadan akan datang. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri

No comments: